Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dianggap sudah terlalu hampir BN sentiasa yakin untuk mengekalkan tampuk kepimpinan
kerajaan Persekutuan.
Penganalisis politik tempatan, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam melihat
kepimpinan BN yang diterajui oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak
sentiasa bergerak aktif dalam mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan
rakyat.
“Pelbagai usaha dibuat oleh beliau yang bukan saja bersifat politik
tetapi aspek sosial masyarakat diutamakan dari semua peringkat
termasuklah di peringkat sekolah, golongan mahasiswa, belia, golongan
berpendapatan rendah dan macam-macam lagi,” katanya kepada UMNO-Online
di sini.
Ujar beliau, kesungguhan BN untuk menerajui kemajuan dan pembangunan
masyarakat bukanlah dibuat dengan ayat-ayat politik tetapi ia
dimanifestasikan melalui gerak kerja yang mantap dan berlangsung lancar
biarpun diasak dengan pelbagai manipulasi dan fitnah dari pembangkang.
“Kita melihat bagaimana satu demi satu isu yang ditimbulkan oleh
pakatan pembangkang memakan diri sendiri sebaliknya kepimpinan BN
semakin mantap dan keyakinan menerajui pentadbiran untuk kesekian
kalinya amat tinggi.
“Masyarakat menilai bagaimana isu kalimah Allah telah menjerat diri
parti Pas sendiri apabila Timbalan Presidennya iaitu Mohamad Sabu
menyatakan sokongan penggunaan kalimah Allah secara umum oleh penganut
agama lain. Ini telah memberi kesan sehinggakan hampir keseluruhan orang
Melayu tidak bersetuju termasuklah ulama tempatan dan mufti-mufti
negeri malah Dewan Ulama Pas pun turut membantahnya.”
Katanya antara isu lain yang turut menjerat diri pakatan pembangkang
sendiri adalah berkaitan Pemilihan Jawatankuasa Pusat DAP (CEC) yang
kemudiannya diakui berlaku kesilapan sedangkan selama ini merekalah yang
sering menuding jari menuduh kerajaan tidak telus dan sebagainya.
“Banyak isu yang dimulakan oleh pakatan pembangkang akhirnya memakan
diri mereka sendiri sebagaimana kononnya digembar-gemburkan masyarakat
India tidak mempunyai dokumen tetapi gagal dibuktikan, menuduh
kepimpinan BN bersifat kroni dan rasuah tetapi yang terdedah rupanya
kepimpinan pakatan pembangkang yang bersifat demikian sebagaimana isu
pemberian tanah kepada pemimpin tertentu.”
Jelasnya, lebih dari itu, pakatan pembangkang cuba meniru manifestasi
kerukunan dalam BN yang dianggotai oleh 13 buah kompenan parti dengan
mereka sendiri berpakat antara DAP, Pas dan PKR tetapi malangnya
sehingga ke hari ini mereka tidak mempunyai haluan yang sama apatah lagi
untuk berdaftar sebagaimana BN.
“Dulu Pas menghina kepimpinan UMNO apabila menjalin hubungan dengan
MCA dan MIC tetapi sekarang mereka menjilat balik ludah sendiri apabila
mengadakan pakatan bersama DAP dan sanggup berkompromi untuk menjatuhkan
kerajaan yang ditunjangi BN.
“Lebih teruk lagi, Pas bukan hanya berpakat tetapi turut menerima
agenda DAP yang secara jelas menolak penubuhan negara Islam dengan
menukar slogannya kepada negara berkebajikan; dan sekarang pula mahu
membenarkan nama Allah digunapakai agama lain.”
Tambahnya, pakatan pembangkang semakin terjerat apabila formula untuk tiru BN tidak menjadi sebaliknya BN semakin mantap.
“Terbaru, pakatan pembangkang mengadakan himpunan kononnya atas nama
kebangkitan rakyat tetapi dengan ruang yang dipilih iaitu Stadium
Merdeka tidak akan dapat menandingi kejayaan UMNO semasa sambutan ulang
tahunnya yang ke-66 tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil.”
Katanya lagi, kepimpinan dalam BN sememangnya berada dilandasan yang
tepat dalam usaha untuk mendapatkan kemenangan dalam PRU ke-13 akan
datang.
“Dalam keadaan tersebut, semua pihak memainkan peranan yang sangat
penting apatah lagi isyarat jelas telah diberi oleh Datuk Seri Najib
untuk bersedia dan tidak alpa kerana PRU ke-13 ini adalah masa
terpenting bagi mendapatkan mandat baru untuk BN menerajui negara.” - MediaUMNO



No comments:
Post a Comment